Percaya atau tidak, sebenarnya ada orang yang tak perlu pakai deodoran. Cukup dengan mandi, menjaga pemakanan dan sihat tubuh badan, mereka tidak akan mengalami masalah bau badan. Akan tetapi mesti ada orang yang akan kata “Eh, menipu je tak pakai deodoran tak ada bau badan, mesti syok sendiri je tu.”

Isu bau badan sebenarnya bukanlah isu yang baharu. Berlaku perdebatan sehinggakan ada yang bergaduh mengenai deodoran. Persoalannya, adakah semua orang memerlukan deodoran? Untuk memberi sedikit pencerahan, mari kita baca artikel ini.

DEODORANTS
Sesetengah orang mungkin menganggap bahawa deodoran merupakan barangan penjagaan yang wajib untuk setiap orang. Hakikatnya, tidak semua orang memerlukannya. Gambar sebagai hiasan. Sumber: https://mynewsconer.com/why-you-should-stop-using-deodorant/

 

1.Kenapa sebenarnya bau badan terhasil?

Biasanya bau badan akan terhasil setelah seseorang itu berpeluh. Tapi tahukah anda yang peluh itu sendiri sebenarnya tidak mempunyai bau? Bau badan sebenarnya terhasil apabila bahan-bahan kimia yang dirembeskan bersama peluh tersebut diuraikan oleh bakteria yang mendiami kulit kita.  Peluh yang mengandungi bahan-bahan yang boleh menghasilkan bau badan setelah diuraikan bakteria dirembeskan dari kelenjar apokrin iaitu kelenjar peluh dibahagian seperti ketiak, dada dan telinga.

Disebabkan ini jugalah ada orang yang masih akan berbau walaupun dah mandi dengan kerap. Asalkan berpeluh dan ada kehadiran bakteria untuk menguraikan bahan-bahan kimia tertentu dalam peluh, maka akan terhasil bau yang kurang enak. Jadi mahu tidak mahu, kenalah beli deodoran juga. Ini disebabkan, deodoran akan bertindak sebagai penghalang pembiakan bakteria. Jadi, bila tiada bakteria, tiadalah penguraian komponen dalam peluh yang akan membebaskan bau busuk. Deodoran pun biasanya memang ada pewangi.

2.Ada orang yang tak pakai deodoran dan memang tak berbau.

Mungkin ada diantara kita yang akan kata “Saya tak pakai deodoran, okay je. Tak ada pula bau badan.” Kalau anda berjumpa dengan orang begini, sabar. Jangan kecam dahulu. Mungkin memang beliau tak ada masalah bau badan. (Melainkan anda memang dah selalu terbau badan beliau, tegurlah elok-elok, mungkin beliau tidak tahu!)

Jadi kenapa ada orang yang memang tak ada masalah bau badan?

Kemungkinan besar, orang tersebut mewarisi gen ABCC11 yang telah pun termutasi. Gen ABCC11 didapati mempunyai peranan yang besar dalam menentukan sama ada seseorang itu mempunyai masalah bau badan mahupun tidak. Ini kerana, orang yang mewarisi gen ABCC11 yang telah pun termutasi akan merembeskan jumlah bahan kimia yang lebih sedikit didalam peluh mereka berbanding yang tiada mutasi tadi. Masih ingat bagaimana kehadiran bahan kimia dalam peluh akan diuraikan oleh bakteria dan membebaskan bau? Orang yang mewarisi gen ABCC11 ini kurang bahan-bahan kimia yang boleh menyebabkan bau busuk didalam peluh mereka.

3.Macammana nak tahu kita mewarisi gen ABCC11 yang normal atau yang termutasi?

Mesti ada yang tertanya-tanya kan, bagaimanalah hendak tahu sama ada kita mewarisi gen ABCC11 yang normal atau yang termutasi. Kena periksa genetik pula ke? Kalau anda hendak tahu, teruskan membaca.

Saintis juga menemui perkaitan diantara gen ABCC11 dan juga jenis tahi telinga. Mutasi pada gen ABCC11 juga menyebabkan tahi telinga menjadi kering dan berderai berbanding orang yang mempunyai gen ABCC11 tanpa mutasi yang biasanya basah dan melekit.

Jadi bagi sesiapa yang mempunyai tahi telinga yang kering, berkemungkinan anda sebenarnya tidak memerlukan deodoran pun. Manakala yang ada tahi telinga jenis basah dan tidak ada pakai deodoran, mungkin anda perlu tanya pendapat jujur dari orang-orang disekeliling anda sama ada anda ada masalah bau badan atau tidak.

Populasi individu dengan gen ABCC11 yang telah termutasi adalah lebih ramai dikawasan Asia berbanding dengan Eropah. Hampir keseluruhan orang Korea mempunyai tahi telinga yang kering tetapi hanya 2 peratus sahaja yang memiliki mutasi ini di Eropah. Inilah antara sebabnya mengapa ada orang yang akan dapati bahawa ianya susah nak cari deodoran di dalam pasaran di Korea. Sebab majoriti daripada mereka memang tidak memerlukannya pun.

Disebabkan gen ABCC11 yang tidak termutasi adalah lebih dominan, ia memerlukan dua alel ABCC11 yang telah termutasi untuk diwarisi oleh seseorang untuk mendapatkan ciri-ciri fizikal badan yang tidak berbau dan juga tahi telinga yang kering.

4. Masalah bau badan tidak seratus peratus bergantung kepada faktor genetik sahaja.

Mesti akan ada yang kata “Eh, adik aku tahi telinga kering tapi ada bau badan juga. Ha macammana tu?”

Walaupun anda mewarisi gen ABCC11 yang termutasi, anda masih berpotensi untuk mengalami masalah bau badan. Antara faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah bau badan termasuklah pemakanan, kebersihan dan juga status kesihatan seseorang.

Sebagai contoh, makanan yang mempunyai perisa atau bau yang kuat seperti rempah ratus, bawang putih dan bawang merah juga boleh menyebabkan masalah bau badan. Kadangkala sesetengah penyakit juga boleh mempengaruhi bau badan seseorang seperti masalah buah pinggang mahupun diabetes.

Pun begitu, janganlah bersedih kalau anda tidak mewarisi genetik yang membolehkan anda tidak memakai deodoran. Dengan penjagaan kebersihan diri, pemakanan dan kesihatan, masalah bau badan dapat dielakkan.

Rujukan:-

1.http://www.differencebetween.net/science/health/difference-between-apocrine-and-eccrine-sweat-glands/

2.https://www.discovermagazine.com/planet-earth/body-odor-asians-and-earwax

3.https://udel.edu/~mcdonald/mythearwax.html

4.https://www.healthline.com/health/smelly-armpits#1

5.https://www.medicalnewstoday.com/articles/sudden-change-in-body-odor

6.https://www.scientificamerican.com/article/people-without-underarm-protection/