Ketika ini kebanyakan daripada kita tahu bahawa mencuci tangan merupakan antara kaedah yang paling mudah untuk mengawal jangkitan dan mencegah penyakit. Tapi ia berbeza dengan beberapa dekad yang dahulu. Kematian akibat jangkitan di hospital-hospital merupakan perkara yang amat biasa sekali. Mari kita ikuti kisah Ignaz Semmelweis, doktor yang telah mencadangkan cucian tangan sebagai cara untuk mengawal jangkitan penyakit.

ignaz semmelweis
Potrait Ignaz Phillip Semmelweis. Sumber: https://www.britannica.com/biography/Ignaz-Semmelweis

Usaha mencari cara untuk mengurangkan kadar kematian di wad bersalin

Ignaz Phillip Semmelweis yang juga dianggap sebagai “bapa kawalan jangkitan” telah diberi tanggungjawab selama dua tahun untuk bertugas di wad bersalin di sebuah hospital mengajar di Vienna. Di sana, Semmelweis mendapati bahawa kelahiran yang diuruskan oleh pelajar perubatan dan juga doktor perubatan/doktor bedah mengalami kadar kematian sebanyak 13-18% berbanding dengan kelahiran yang diuruskan oleh bidan iaitu sebanyak 2%. Kematian selepas melahirkan ini biasanya disebabkan oleh demam puerpera (puerperal fever).

Demam puerpera merupakan demam yang dialami oleh ibu yang baru bersalin dalam tempoh masa 24 jam hingga 10 hari. Demam ini disebabkan jangkitan yang biasanya berlaku dibahagian penempelan plasenta pada uterus pesakit.

Semmelweis membuat kesimpulan bahawa kadar kematian lebih tinggi untuk kelahiran yang diuruskan oleh doktor dan juga pelajar kedoktoran adalah kerana mereka mengabaikan aspek kebersihan selepas melakukan autopsi kepada mayat dan terus menguruskan ibu-ibu yang sihat lalu menyebarkan jangkitan ini. Ini kerana bidan dan pelatih bidan tidak melakukan autopsi mayat dan kematian akibat demam puerpera hanya 2% dalam kalangan ibu-ibu yang diuruskan oleh bidan.

Disebabkan ini, Semmelweis telah memperkenalkan kaedah mencuci tangan dalam kalangan pelatih perubatan yang baru menjalankan autopsi. Pelatih-pelatih perubatan tersebut perlu membasuh tangan dengan larutan kalsium hipoklorit sebelum menguruskan pesakit. Selepas itu,insiden kematian akibat demam puerpera turun mendadak kepada 2% sahaja. 

Tidak cukup dengan itu, Semmelweis juga mencuci alatan perubatan dan mengurangkan kadar kematian kepada 1% sahaja. Akhirnya setelah pelbagai-bagai hipotesis, beliau berjaya mengurangkan kadar kematian dengan mencuci tangan pada tahun 1847.

Sebelum itu, beliau fikir bahawa perbezaan kadar kematian diantara wad bahagian pertama(yang diuruskan oleh doktor perubatan/pelatih) dengan wad bahagian kedua (diuruskan oleh bidan) merupakan kedudukan bersalin. Beliau telah mengubah kedudukan bersalin di wad bahagian pertama dan tiada perubahan. Selepas itu, hipotesis keduanya ialah, mungkin wanita-wanita di wad bahagian pertama berasa gerun dengan loceng dibunyikan oleh paderi selepas berlakunya sesuatu kematian lalu menyebabkan ibu-ibu tersebut demam kerana ketakutan dan mati. Namun setelah paderi tersebut berhenti membunyikan loceng, masih tiada perubahan. Hanya selepas kematian rakan sekerjanya Jakob Kolletschka yang meninggal dunia selepas terluka dalam proses autopsi wanita yang mati akibat demam puerpera sahaja beliau membuat hipotesis bahawa terdapat partikel-partikel busuk dan mereput daripada mayat tersebut yang menyebabkan jangkitan tersebut berlaku. Jakob Kolletschka juga mengalami simptom-simptom yang sama seperti demam puerpera. Jadi untuk mengelakkan partikel-partikel busuk ini berpindah dari tangan doktor ke pesakit, Semmelweis pun mewajibkan mencuci tangan untuk menghilangkan partikel-partikel tersebut. Disini Yaya sebutkan partikel disebabkan ketika itu Semmelweis tidak tahu tentang kewujudkan mikroorganisma.

Detik-detik penentangan idea dan penemuan baru

Namun apa yang menyedihkan, penemuannya ini tidak disokong oleh pegawai atasannya iaitu Professer Klein. Professer Klein menganggap bahawa kadar kematian mengalami penurunan akibat daripada sistem pengudaraan terbaru hospital yang lebih canggih, bersesuaian dengan teori miasma ketika itu.

Eh kejap, apa pulak teori miasma ini? Teori miasma ialah teori dimana penyakit adalah disebabkan miasma iaitu udara atau wap beracun yang disebabkan sesuatu yang mereput. Miasma dikenali dengan ciri-cirinya yang berbau busuk. Miasma dianggap sebagai punca penyakit sebelum saintis mengetahui mengenai mikroorganisma. Sebagai contoh,nama penyakit malaria sebenarnya berasal daripada perkataan italia yang bermaksud “udara tercemar” iaitu mal’aria. 

Walaupun ada yang beberapa individu yang menyokongnya, tetapi lebih ramai lagi yang menentang dan memperlekehkan Semmelweis. Salah seorang saintis yang terkenal ketika itu Rudolf Virchow juga menolak ideanya seratus peratus menyebabkan kebanyakan orang juga menolak idea Semmelweis.

Pengakhiran yang menyedihkan

Menjelang tahun 1861, kesihatan Semmelweis mula merosot akibat pelbagai tekanan yang diterimanya. Beliau mengalami kemurungan dan dikatakan setiap perbualan dengannya akan berkisarkan demam puerpera. Pada pertengahan tahun 1865, perubahan tabiatnya mula membuatkan orang-orang terdekatnya menjadi gelisah dan malu. Tidak lama selepas itu beliau dimasukkan ke hospital sakit jiwa dimana dia diseksa dengan pelbagai seksaan termasuklah dipukul secara teruk dan dihumban ke dalam sel yang gelap. 2 minggu kemudian, beliau meninggal dunia akibat gangrene pada luka pukulannya. Betapa sedihnya hanya beberapa tahun selepas kematiannya, barulah hasil-hasil dapatan dan ideanya dihargai, sementara itu berapa ramai pula ibu-ibu yang telah mati akibat demam puerpera kerana idea Semmelweis ditolak.

Jadi, Yaya ingin sekali mengajak pembaca semua untuk menghargai usaha-usaha para saintis yang berusaha untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk kita semua. Dalam ramai-ramai yang menerima anugerah untuk pencapaiannya dalam sains, ada yang riwayat hidupnya yang berakhir dengan pedih seperti Semmelweis yang memperjuangkan sebuah idea dan penemuan untuk menyelamatkan lebih ramai nyawa.

Apa yang paling penting, jagalah kebersihan tangan anda dengan mencuci tangan dengan sabun dan air. Lagi-lagi waktu musim penyakit berjangkit. Jaga diri dan kesihatan semua!

Rujukan

  1. https://qualitysafety.bmj.com/content/13/3/233
  2. https://semmelweis.org/about/dr-semmelweis-biography/
  3. https://www.pastmedicalhistory.co.uk/ignaz-semmelweis-the-saviour-of-mothers/
  4. https://www.scientificamerican.com/article/when-was-malaria-first-di/
  5. https://www.dr-rath-foundation.org/2017/11/ignaz-semmelweis-ignored-rejected-ridiculed-by-the-medical-orthodoxy-then-proven-to-be-right/