“Eh, macam belangkas lah kalian berdua ni!” Perumpamaan yang biasa kita dengar untuk menggambarkan keakraban sesama individu. Walaupun tak ramai yang pernah melihat belangkas, sekurang-kurangnya mereka pernah dengar perumpamaan ini. Apa sebenarnya belangkas itu?

1.Biodata belangkas.

Belangkas atau nama saintifiknya Limulus polyphemus tergolong daripada filum Arthropoda. Filum Arthropoda mengelaskan kumpulan haiwan tidak bertulang belakang (invertebrata) yang mempunyai ciri-ciri badan berkutikel keras dan terbahagi kepada beberapa segmen. Antara binatang yang tergolong sama dalam kumpulan ini ialah udang, lipan,ketam dan juga serangga. 

Untuk pengetahuan lagi, spesies belangkas juga telah mula bertapak di bumi lebih dari 300 juta tahun yang lalu! Nampaknya belangkas ni lagi tua dari dinasour tapi masih tak pupus sampai sekarang.

2. Darah biru belangkas.

Harga 1 liter darah manusia adalah sekitar 400 USD sahaja. Mahal? Biasanya kita dermakan darah sahaja kan? Darah belangkas yang berwarna biru lagi mahal. 1 kuart, lebih kurang 1 liter berharga kira-kira 15850 USD. Itulah sebabnya darah belangkas merupakan salah satu cecair yang termahal di dunia.

Mengapa darah belangkas berwarna biru? Warna biru adalah disebabkan kehadiran tembaga dalam protein hemocyanin yang bertindak sebagai pengangkut oksigen didalam darah. Hal ini berbeza dengan mamalia. Darah kita berwarna merah kerana kehadiran ferum (besi) dalam hemoglobin.

3. Fungsi darah belangkas

Darah makhluk belangkas ini digunakan untuk pelbagai tujuan dalam perubatan termasuklah mengesan mikroorganisma E.coli, mengesan kuman dan juga menguji keselamatan vaksin serta peralatan hospital sebelum digunakan.

Ini kerana kehadiran bahan kimia limulus amebocyte lysate (LAL) akan menjadi likat apabila bertembung dengan toksin yang dihasilkan oleh bakteria. Atas dasar inilah ia menjadi agen untuk menguji keselamatan alatan perubatan serta apa-apa yang berkaitan untuk mengelakkan manusia daripada terkena jangkitan yang serius. Masa yang diambil untuk darah belangkas untuk mengesan hanyalah sekitar 45 minit sahaja. Macammana belangkas boleh ada kebolehan macam itu?

4. Evolusi belangkas.

Memandangkan belangkas hidupnya dilaut yang penuh dengan mikroorganisma yang berbahaya dan mereka tak ada sel darah putih untuk lawan penyakit, maka wujudnya amebosit untuk membantu. Satu gram mendapan laut boleh ada 1 bilion bakteria! Bayangkanlah kalau sistem pertahanan belangkas tak berapa cekap: mesti asyik sakit dan cepat mati.

5. Belangkas yang digelar sebagai fosil hidup.

Belangkas digelar sebagai fosil hidup kerana rupanya sangat mirip dengan keturunannya yang telah pupus dan menjadi fosil. Tapi apa sebenarnya nasib belangkas yang telah mendermakan darahnya dan dilepaskan ke laut semula selepas itu?

Sesetengah saintis menganggarkan bahawa sebanyak 40% belangkas mati dalam proses mengumpulkan darah belangkas walaupun mereka hanya mengeluarkan sebanyak 3/10 daripada keseluruhan darah belangkas. Ada juga saintis yang mendapati bahawa kebolehan belangkas betina untuk membiak selepas darah mereka berkurangan menurun. Secara keseluruhan, populasi belangkas berada pada tahap yang agak membimbangkan kerana berpotensi tinggi menjadi haiwan yang diancam kepupusan.

Selain menjadi makanan dan dijadikan umpan untuk menangkap ikan yang lebih besar, mereka juga dikutip untuk diambil darahnya. Jikalau kita tidak berhati-hati dan tamak, pasti suatu hari nanti belangkas akan betul-betul pupus dan menjadi fosil!

Rujukan:

Akhshat, R. 2016. The medical industry is plundering a 450-million-year old species for its rare blue blood. https://qz.com/706327/the-medical-industrys-thirst-for-blue-blood-might-kill-off-this-amazing-living-fossil/ [6 Disember 2018]

The National Wildlife Federation. Horseshoe Crab. https://www.nwf.org/Educational-Resources/Wildlife-Guide/Invertebrates/Horseshoe-Crab [6 Disember 2018]

Harsh, G. 2016. What Are The Most Expensive Liquid In The World? https://www.scienceabc.com/eyeopeners/what-which-are-the-most-expensive-liquids-in-the-world.html [6 Disember 2018]

Smith, D.R., Beekey, M.A., Brockmann, H.J., King, T.L., Millard, M.J. & Zaldívar-Rae, J.A.2016. Limulus polyphemus. The IUCN Red List of Threatened Species 2016: e.T11987A80159830.http://dx.doi.org/10.2305/IUCN.UK.2016-1.RLTS.T11987A80159830.en. [6 Disember 2018]

Advertisements