Siapa disini yang pernah menonton filem Alice in Wonderland? Mesti anda perasan kan watak Mad Hatter yang dilakonkan oleh Johnny Depp yang terkenal tu. Jadi apa pulak kaitannya dengan raksa? Hah? Raksa tu apa? Alah, yang pakai dalam termometer tu lah. Bahasa Inggerisnya mercury.

9aa02295168ed2b72c012f39bbb0cbdf
Watak Mad Hatter dalam Alice in Wonderland. /Ihsan: Disney

1)Perumpamaan “Mad as a Hatter”

“Mad as a Hatter” (Gila seperti Si Pembuat Topi) membawa maksud seseorang yang benar-benar gila ataupun seseorang yang tidak dapat difahami oleh orang-orang disekelilingnya. Pada asalnya istilah ini merujuk kepada perbuatan orang yang merasa jengkel dengan perbuatan orang lain.

2) Si Pembuat Topi dan Raksa

Pada penghujung abad ke 17 dan awal abad ke 18, para pembuat topi menggunakan raksa sebagai bahan untuk melembutkan bulu-bulu haiwan seperti arnab untuk dijadikan kain felt untuk bahan membuat topi. Jenis raksa yang digunakan ketika itu ialah merkuri nitrat. Dikatakan ketika itu, para pembuat topi yang terdedah kepada raksa dengan jangka masa yang panjang mengalami simptom-simptom seperti gangguan percakapan (speech problem), ketidakstabilan emosi yang melampau, halusinasi dan macam-macam lagi. Akibat simptom-simptom ini, muncul lah istilah “Mad as a Hatter” untuk menggambarkan sifat gila pada seseorang.

3) Penyakit Mad Hatter dalam Dunia Perubatan

Penyakit Mad Hatter dikenali sebagai Erethism dalam dunia perubatan. Pendedahan terhadap keracunan raksa dalam jangka masa panjang mampu menyebabkan pelbagai simptom seperti kekeliruan mental, perubahan warna jari kaki dan tangan (kemerahan), pipi yang berwarna merah, gangguan tidur (imsonia) dan juga gangguan emosi. Kesemua ini bertepatan dengan individu-individu yang digelarkan sebagai Mad Hatter. Kalau tak percaya, tengok balik gambar Mad Hatter dalam cerita Alice in Wonderland tu. Sama tak?

4) Raksa sebagai Bahan Pemutih dalam Kosmetik

Memandangkan terdapat segelintir masyarakat yang taksub dengan kulit yang cerah, terdapat banyak lambakan kosmetik-kosmetik atau produk penjagaan wajah dan kulit yang menjanjikan perkara tersebut.

Salah satu bahan yang popular dalam produk pemutih kulit ialah raksa. Tidak terkecuali beberapa bahan yang berbahaya kepada kesihatan seperti hidrokuinon, kortikosteroid dan retinoids.

Raksa bertindak memutihkan kulit dengan menggantikan kuprum yang diperlukan untuk enzim Tyrosinase yang membantu penghasilan melanin (pigmen yang memberikan warna pada kulit) oleh melanocytes.  Kesan ini hanyalah kesan yang sementara. Itulah sebabnya warna kulit pengguna akan kembali ke warna asal setelah mereka menghentikan penggunaan produk.

Walaubagaimanapun, raksa akan masuk ke dalam badan dan kekal untuk jangka masa yang lama dan menyebabkan pelbagai masalah seperti kerosakan buah pinggang.

Disebabkan bahan-bahan ini sangat berbahaya, maka pemantauan berterusan diadakan oleh pihak Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras penjualan produk-produk sedemikian di pasaran.

13oktkosmetik-bahaya.jpg.transformed
Kesan-kesan menggunakan produk kecantikan dengan bahan-bahan terlarang termasuklah merkuri. /Ihsan: Berita Harian

Kesimpulannya, raksa merupakan bahan neurotoksik dan berbahaya untuk kesihatan. Meskipun keracunan raksa adalah jarang pada masa kini kerana kita tidak memerlukan raksa untuk membuat kain felt, masih ada lagi ancaman dari raksa dalam bentuk yang lain terutamanya dalam produk-produk kecantikan. Hargailah kesihatan anda dan jauhilah diri anda dari produk-produk yang mengandungi merkuri dan seangkatan dengannya.

Rujukan:

http://www.healthguidance.org/entry/17695/1/mad-hatter-disease.html

https://www.history.com/news/ask-history/where-did-the-phrase-mad-as-a-hatter-come-from

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/336724/7-produk-kosmetik-diharamkan-serta-merta

Davids, L. M.; Wyk, J. v.; Khumalo, N. P.; Jablonski, N. G. (2016) “The phenomenon of skin lightening: Is it right to be light?” South African Journal of Science 112: 11-12 dipetik dari: http://dx.doi.org/10.17159/sajs.2016/20160056

Advertisements