Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca semua!

Kali ini Yaya kembali semula dengan perkongsian sains untuk anda. Topik yang Yaya bawakan hari ini ialah mengenai Adilidah (Super Tasters)! Wah, apa benda Adilidah ni? Kenapa kedengaran seperti kuasa yang hebat pula?

Pernah tak anda dimarahi kawan-kawan anda yang tidak suka makan sayur? Apabila ditanya, asyik-asyik kata yang sayur tu pahit sangat. Walaupun kita rasa tak pahit mana pun, ada pulak kawan-kawan kita yang tak rasa pahit langsung! Ada ke kawan-kawan anda yang tak suka makan benda yang manis-manis sangat dan selalu minta air kurang manis bila memesan air di kedai mamak? Adakah anda sendiri yang mengalami perkara-perkara ini?

Jawapannya, anda atau kawan anda itu mungkin ada Adilidah!

the-health-benefits-of-broccoli-main-guide-image-700-350
Tak suka brokoli kerana rasanya yang teruk? Mungkin anda ada Adilidah. /Ihsan: BBC Good Food

1. Apakah itu Adilidah?

Adilidah ialah golongan yang mempunyai deria rasa dengan keamatan yang sangat tinggi. Sekiranya kita bagi mereka satu sudu aiskrim dan suruh mereka beri nilai kemanisan aiskrim tersebut dari 1 hingga 10, mungkin mereka akan beri nilai 8, 9, atau 10! Padahal orang lain rasa aiskrim tu manisnya cukup elok (mungkin dalam skala 5). Ini tak lain dan tak bukan disebabkan mereka mempunyai lebih banyak deria rasa pada lidah berbanding orang lain.

Perasan atau tidak sewaktu kita kecil-kecil dahulu, kalau kita makan gula-gula atau minuman berwarna lepastu kita tengok dekat cermin, lidah kita akan berwarna juga kan? Kesemua bahagian lidah akan berwarna agak pekat kecuali bintik-bintik kecil di lidah anda tu.

BBC-tongues
Perbezaan jumlah deria rasa pada lidah. /Ihsan: BBC

Seperti dalam gambar di atas, untuk keluasan yang sama, Adilidah mempunyai lebih banyak deria rasa berbanding orang yang mempunyai deria rasa yang normal. Ada pula yang kurang deria rasa (Tunalidah). Bila orang lain kata sudah cukup masin/manis, dia minta tambah lagi gula. Kalau makanan yang dah cukup rasanya untuk lidah yang normal pun dah cukup mengerikan untuk pemilik Adilidah ini, apatah lagi makanan yang sedap untuk pemilik Tunalidah.

Kira-kira 25 sehingga 30 peratus penduduk dunia mempunyai Adilidah manakala 40 sehingga 50 peratus ialah populasi dengan deria rasa yang normal dan selebihnya mempunyai Tunalidah. Anda yang mana satu?

2. Genetik disebalik deria rasa anda.

Percaya atau tidak, keamatan deria rasa anda sebenarnya bergantung kepada genetik atau perwarisan dari kedua ibu dan bapa anda!

Untuk memudahkan kefahaman, kita wakilkan gen untuk kebolehan merasa sebagai T (alel dominan), dan gen untuk kebolehan kurang merasa sebagai t (alel resesif). Bagi sesiapa yang mewarisi gene T dan T dari ibu bapanya, maka individu itu mempunyai Adilidah!  Sekiranya mewarisi satu alel dominan dan satu alel resesif, maka individu itu mempunyai lidah normal. Apabila terdapat dua alel resesif, maka individu tersebut mempunyai Tunalidah.

Satu lagi cara untuk mengesan si Super Taster ialah dengan ujian merasa Feniltiokarbamid (FTK). Sesetengah sebatian dalam makanan berkait rapat dengan FTK yang memberikan rasa sangat pahit kepada Adilidah dan rasa pahit sedikit kepada lidah normal. Untuk Tunalidah pula, mereka langsung tak rasa benda alah ni!

Dalam beberapa kajian, mereka mendapati bahawa pemilik Adilidah lebih mudah untuk menentang jangkitan. Namun jangan bimbang, setiap orang mempunyai kelebihan masing-masing.

Jadi tunggu apa lagi, ambil cermin dan lihat lidah anda sekarang! Manalah tahu selepas ini boleh bagi alasan kenapa tak suka makan sesetengah sayur yang rasa pahit.

Rujukan:

https://www.scientificamerican.com/article/super-tasting-science-find-out-if-youre-a-supertaster/

http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-2215144/Researchers-discover-people-supertaster-gene-protects-illness.html

https://www.britannica.com/science/phenylthiocarbamide-tasting

 

Advertisements