Bangi, 17 Nov 2017 – MajalahSains.com dan Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjemput 5 penggiat sains untuk melontarkan pendapat dalam sebuah forum bertajuk “Dunia Pascasiswazah: Keilmuan, Keperluan atau Keterpaksaan”.

Barisan panel yang dijemput ialah Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim (Mantan Saintis NASA), Dr Mohd Bakri Bakar (Presiden American Chemical Society (ACS) Malaysia Chapter), Dr Nur Adlyka Annuar (Pensyarah Astrofizik UKM), Dr Maryam Azlan (Penggiat #MedTweetMY, Pakar Imunologi) dan En Shahrin Ahmad (Penggiat FalakOnline). Perantara panel ialah Prof Madya Dr Faizal Mohamed (Pengerusi Pusat Fizik dan Bahan Novel, FST UKM).

Forum itu diisi dengan pengalaman mereka merentasi dunia akademik dan pendapat masing-masing berkenaan haluan dunia Sains & Teknologi khususnya dalam Malaysia.

Dr Adlyka menyatakan bahawa beliau sememangnya sudah berminat dengan dunia astronomi dan ingin menjadi kecil sedari kecil. Walaupun minat (keilmuan) itu sudah ada, tidak dinafikan apabila setelah menyambung pelajaran, ada rasa keterpaksaan untuk menghabiskan pengajian lagi-lagi daripada pihak biasiswa. Beliau juga menyatakan bahawa kajian berkenaan lohong hitam yang beliau sedang jalankan, walaupun tidak nampak kesannya jangka pendek tapi ia adalah satu keperluan agar ada impak pada masa hadapan.

Dr Bakri pula mengatakan ia bermula dengan keperluan, kerana bidang kerja yang beliau inginkan memerlukan sijil PhD. Namun, beliau tidak menafikan bahawa beliau memang minat bidang nanoteknologi.  Malah, beliau ada memecahkan tiga kategori ini mengikut aspek:

Boleh menjadi sebab keilmuan apabila ada minat, cita-cita, cinta akan ilmu, dan suka akan ekosistem akademik. Ia menjadi sebab keperluan apabila kepakaran dan kemahiran bidang itu diperlukan. Akhir sekali, ia boleh menjadi sebab keterpaksaan kerana ada unsur peluang, wang dan kedudukan sosial.

Bagi Dr Amani, rasa keterpaksaan (urgency) mesti ada sambil menggunakan pengalaman beliau mengetuai projek SPORESAT dalam NASA yang mesti dihabiskan dalam masa yang tertentu ataupun gagal terus. Namun, beliau memang ada rasa ingin tahu sewaktu mula memikul tanggungjawab tersebut.

“Rasa takut itu ada, tapi ada rasa ingin tahu mengetauai projek ini.”

Pandangan Dr Maryam pula ialah menyambung pengajian pascasiswazah adalah satu keperluan jika ingin mencapai status negara maju. Menurut beliau, nisbah penduduk kepada saintis di negara ini ialah 0.3% sedangkan di Perancis dan Amerika masing-masing ialah 15% dan 25%~30%.

En Shahrin mengambil pendekatan yang berbeza dengan menyatakan pandangannya bagaimana ingin memupuk minat sains dalam masyarakat. Beliau juga berkongsi bagaimana beliau memasukkan elemen-elemen yang menarik dalam menyampaikan sains kepada masyarakat.

“Nak sembang pasal sains, bukan setakat nak kena nyatakan fakta tapi perlu isikan dengan pengalaman sekali.”

Kesimpulannya, barisan panel ini bersetuju bahawa elemen keilmuan, keperluan dan keterpaksaan itu perlu seiring jika ingin membuahkan hasil. Kita memerlukan saintis untuk memajukan negara. Kita juga harus memupuk minat sains dalam diri pelajar untuk meningkatkan jumlah saintis. Keterpaksaan pula wujud apabila cuba menghabiskan sesebuah projek.

Advertisements