BANGI, 16 Sept 2017 – Tarikh keramat ini semestinya digunakan rakyat bagi meraikan Hari Malaysia sama ada dengan menonton filem di panggung wayang, keluar bersama rakan-rakan mahupun membelanja sakan. Namun, bagi Prof Emeritus Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, ini adalah tarikh untuk menganjurkan perbincangan berkenaan kejayaan Alam Melayu dalam bidang Sains dan Teknologi.

Bertempat di Kedai Buku Raudhah Al-Miqyas di Bangi Gateway, matematikawan Prof Emeritus Dr Shaharir Mohd Zain membentang makalahnya bertajuk “Beberapa Masalah Penyelidikan Sains Malayonesia” hasil telaah 96 buah manuskrip dalam Bahasa Melayu Jawi.

photo_2017-09-21_23-57-51
Prof Emeritus Dr Shaharir Mohd Zain membentang makalahnya

Walaupun wujud manuskrip pra-Jawi seperti Kawi dan Pallava, tiada kepakaran dari kalangan ahli Kumpulan Penyelidik Etnomatematik Malayonesia (KuPELEMA) yang boleh membaca tulisan-tulisan sebegitu, maka manuskrip-manuskrip pra-Jawi tidak dapat ditelaah.

Dalam pembentangannya, Prof Shaharir menggariskan tujuh bidang yang menonjol sepanjang cariannya iaitu: 1) Bilangan dan Angka, 2) Kira-kira/ Hisab, 3) Ilmu Mantik, 4) Ilmu Nujum/ Falak, 5) Kepemimpinan dan Kepengurusan, 6) Perubatan, dan 7) Ekonomi.

Tidak dilupakan juga kekayaan flora dan fauna di Alam Melayu menyebabkan ada nama-nama saintifik diambil dari nama tempatan seperti Babyroussa babyrussa (Babirusa), Arctictis binturong (Binturong), Cacatua sulphurae (Kakaktua), Gekko gecko (Cikak Tokek), Tragulus Kanchil (Kancil), Durio Zibethinus (Durian), Uncaria gambir (Gambir), Mangifera indica (Mangga), Lansium domesticum (Langsat), Cinnamomum lawang (kayu lawang) dan banyak lagi contoh.

Beliau juga membangkitkan satu soalan menarik: iaitu apakah sebenarnya pokok cindapong yang disebut dalam peribahasa “menanti putih gagak hitam, buntar-buntar daun lalang, luas-luas daun merunggai, sampai tumbuh daun cindapong”?

photo_2017-09-21_19-42-58.jpg
Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah dengan kertas ulasannya

Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin Wan Abdullah dan saudara Hazman Baharom turut dijemput bagi mengulas tulisan Prof Shaharir dalam pandangan bidang ilmu masing-masing.

Wacana ini adalah yang kedua daripada siri wacana-wacana yang dianjurkan oleh Prof Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir. Wacana seterusnya dijangka akan berlangsung pada 14 Oktober yang bertajuk “Estetika Pantun Melayu” oleh Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh. Layari https://www.facebook.com/events/518221548513729/ untuk perkembangan wacana seterusnya.

photo_2017-09-21_20-15-10
Saudara Hazman Baharom dengan buah fikirannya
Advertisements