BANGI – 41 kumpulan penyelidik cilik berkumpul di Pusat PERMATApintarTM Negara pada 25 hingga 27 Julai yang lalu bagi membentangkan hasil penyelidikan mereka. Persidangan international Future Scientist Conference (iFSC) sudah masuk tahun ke-6 dilaksanakan oleh pusat tersebut dengan slogan kali ini “Nurturing Talent in Research“.

Persidangan ini bertujuan menyediakan pelajar ke alam penyelidikan di tahap universiti nanti. Setiap pelajar Kolej PERMATApintarTM Negara didedahkan dengan kaedah dan penulisan penyelidikan sewaktu tahun akhir pengajian mereka seterusnya menggunakan platform persidangan ini untuk mempersembahkan titik peluh mereka. Hal ini bersesuaian dengan status pusat ini sebagai Program PERMATA yang bersifat saintifik.

Pasukan daripada Jepun dan duta PERMATA yang pernah dihantar ke Jepun berkumpul bagi sesi fotografi

Tahun ini menyaksikan penyertaan pelajar sekolah Shibata Senior High School, sebuah sekolah di bawah program Super Science High School di Jepun. Ini adalah satu pencapaian yang dinantikan warga pusat itu demi merealisasikan perkongsian ilmu bertaraf antarabangsa.

Tidak dilupakan juga penyertaan daripada SJK Hang Kwang, Sibu; SJKT Ladang Mount Austin, Johor; SM Sains Hulu Selangor; SM Sains Selangor; MRSM Kubang Pasu; dan SBPI Selandar, Melaka yang turut memeriahkan program bersama hasil kajian yang menarik.

Antara tajuk kajian yang dipersembahkan di dewan Auditorium ini berkisarkan:

  1. Kaedah menggunakan CRISPR bagi mematikan kod genetik virus HIV,
  2. Kaedah mengubah sebatian keton daripada buah epal untuk menjadikannya alkohol bagi kegunaan perubatan,
  3. Menggunakan pengimejan haba bagi mengenalpasti bahagian sel suria yang rosak,
  4. Mengenalpasti kadar penyerapan cahaya yang berbeza dalam beberapa jenis mutan phytochrome.
  5. Baja dari biji kopi “Coffelizer”

dan banyak tajuk lain yang tidak disebut.

Program ini juga diselitkan dengan slot perkongsian Dr Uthman Talib mengenai “Kemahiran untuk Menjalankan Penyelidikan yang Berkualiti Tinggi”.

Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir juga turut dijemput dengan tajuk “Mengajar Falsafah di Peringkat Sekolah: Meningkatkan Kemahiran Berfikir dan Penyelidikan.”

Dengan pendedahan dunia penyelidikan di awal usia, Prof Dato’ Dr Noriah Mohd Ishak, pengarah Pusat PERMATApintarTM Negara, berharap agar sektor penyelidikan di Malaysia boleh membuahkan hasil bertaraf antarabangsa.

Advertisements