Pengenalan

Rasanya ramai yang tidak suka bercakap pasal penyakit. Akan tetapi, Yaya lebih yakin bahawasanya ramai lagi tidak suka dijangkiti penyakit. (Siapa je yang suka kalau sakit, kan?) Maka rajin-rajinkan lah diri mengenal penyakit-penyakit ya. Soalan SPM pun makin lama makin KBAT maka apa salahnya kalau nak membaca tidak mengira usia?

Dalam satu artikel dinyatakan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes meningkat daripada 11.6 % pada tahun 2006 kepada 17.5 peratus pada tahun 2015. Maka sukalah Yaya mengingatkan kepada perlunya untuk kita menjaga kesihatan sebelum terlambat lebih-lebih lagi sebab kita hidup dalam negara yang kaya dengan kepelbagaian makanan. Jangan lupa, ya!

Geram pula Yaya tengok gula-gula ni. Cantik. Tapi banyak gula. Bahaya kalau makan banyak-banyak. Ihsan – http://www.CrazyChineseWoman.com

1 – Diabetes Jenis 1

Punca diabetes jenis ini tidak diketahui puncanya sehingga kini. Kajian hanya mendapati bahawa diabetes jenis ini merupakan penyakit autoimun, iaitu, apabila sistem pertahanan badan menyerang sel beta pada pankreas yang menghasilkan insulin untuk menukarkan glukosa kepada tenaga. Sudahnya, glukosa tidak dapat digunakan dan jumlahnya meningkat dalam darah.

Untuk menggantikan permintaan tenaga, badan terpaksa menggunakan lemak simpanan yang akan diuraikan menjadi keton. Jumlah keton dalam darah akan meningkatkan keasidan darah dan akan menyebabkan ketoasidosis!

Selain punca penyakit autoimun, diabetes jenis ini juga boleh berlaku disebabkan jangkitan.

Kalau nak tahu, diabetes jenis ini biasanya lebih kerap menyerang kanak-kanak berumur bawah 15 tahun. Namun, ada juga kes yang mana diabetes ini menyerang sewaktu dewasa.

2 – Diabetes Jenis 2 (Diabetes Mellitus)

Ringkasnya, diabetes jenis ini berlaku apabila terdapatnya rintangan terhadap penggunaan insulin oleh sel-sel dalam badan. Pada mulanya pankreas akan bekerja keras untuk menghasilkan insulin sementara kandungan gula semakin banyak dalam darah disebabkan sel-sel tak dapat nak gunakan insulin secara efektif. Lama-kelamaan pankreas tak dapat nak hasilkan cukup insulin untuk memenuhi keperluan untuk mengatasi kandungan gula yang tinggi.

Beberapa punca yang dapat dikenal pasti penyebab diabetes ini ialah berkemungkinan diwarisi dalam genetik. Maksudnya, kandungan insulin yang dihasilkan setiap individu berbeza mengikut genetik. Jadi, kalau ada sejarah dalam keluarga yang menghidap kencing manis, sila berhati-hati. Mungkin itu petanda yang genetik anda mewarisi penghasilan insulin yang lebih sedikit berbanding orang lain.

Punca yang paling senang ialah mengambil terlalu banyak gula dalam pemakanan. Obesiti juga dikenal pasti sebagai salah satu punca kepada diabetes jenis 2. Ha! Pernah tertanya-tanya tak kenapa obesiti berkait pula dengan diabetes?

Dalam satu kajian mendapati obesiti menyebabkan tekanan dalam sistem endoplasmik retikulum kasar yang kemudiannya menyebabkan ia menyekat isyarat tapak [receptor] insulin. Sudahnya, sel-sel tersebut tak mampu nak menggunakan insulin. Ingat! Bukan anda sahaja mengalami tekanan jiwa dan perasaan, sel-sel anda juga sama!

3 – Diabetes insipidus.

Ya, tahukah anda bahawa diabetes tak semuanya ada kaitan dengan kandungan gula yang banyak dalam darah? Diabetes insipidus ialah keadaan yang mana hormon vasopressin yang mengawal isi padu air kencing menyebabkan lebih banyak air kencing yang dikeluarkan walaupun sebenarnya badan memerlukan air menjadikan individu dengan penyakit ini sentiasa kehausan.

Dua punca utama penyebab penyakit ini berkemungkinan masalah kerosakan pada hipotalamus otak atau kelenjar pituari menyebabkan kurang hormon vasopressin dihasilkan. Selain itu, kegagalan buah pinggang untuk memberi respon kepada hormon vasopressin juga menjadi punca kepada penyakit ini.

Walaupun keadaan ini jarang berlaku, tetapi nasihat Yaya, jagalah buah pinggang dengan cara yang berhemah. Jangan sampai dah sakit baru hendak terngadah. Eh? Macam salah je peribahasa tu. Hmm…

4 – Diabetes gestational

Pernah dengar ibu-ibu mengandung yang asalnya sihat tiba-tiba menghidap diabetes waktu mengandung? Definisi diabetes gestational ini senang je nak faham, kandungan gula dalam darah yang tinggi sewaktu mengandung. Ia disebabkan badan menghasilkan insulin yang tidak cukup untuk memenuhi keperluan badan yang mengandung. Yalah. Waktu mengandung makan pun kenalah lebih sikit dan mungkin inilah puncanya.

Kebanyakan kes, diabetes jenis ini pulih selepas kelahiran. Paling memeranjatkan biasanya tak ada simptom-simptom pelik pun kecuali seperti kerap haus dan kerap berulang-alik ke tandas. Punca-punca biasa ialah BMI melebihi 30 dan faktor usia yang lanjut.

Rumusan dan nota tambahan:

Setakat ini itu sahajalah yang Yaya dapat bahaskan. Sebenarnya, satu fakta menarik yang Yaya jumpa ialah wujudnya diabetes jenis 3. Satu artikel yang Yaya jumpa mengatakan terdapatnya penemuan bahawa insulin bukan sahaja dibebaskan pankreas malah ia juga dibebaskan oleh otak! Diabetes jenis 3 dikaitkan dengan penyakit Alzheimer. Tak terdaya Yaya nak bahas sebab perlukan lebih banyak pembacaan lagi.

Alang-alang dah bercerita, nak jugalah beritahu serba sedikit sejarah nama “diabetes”. Nama “diabetes” diberi oleh seorang pakar perubatan Greek bernama Arataeus. Diabetes bermaksud “flowing through” bersempena dengan keadaan pesakit diabetes yang kerap mengumuhkan urin. Jadi, sebenarnya nama diabetes tak ada kaitan dengan gula pun.

Perkataan mellitus pula sebenarnya bermaksud “madu” yang rasanya manis. Ha! Macammana? Hebat juga ya nama-nama penyakit ni. Ada sejarah sendiri!

Advertisements