Pengenalan

untitled
Boboiboy: The Movie adalah hak intelek Studio Animonsta

Dalam entri yang lepas, kita telah berbincang beberapa fenomena Fizik yang pelik dalam Boboiboy: The Movie. Disebabkan kuasa Borara berasaskan Lohong Hitam, ada banyak peluang untuk mereka melanggar hukum fizik hanya untuk kesan khas penonton. Mari kita lihat beberapa fakta tentang lohong hitam yang gagal disampaikan dalam filem Boboiboy: The Movie.

Lohong Hitam Bukannya Vakuum

Dalam adegan pertama kali Borara mengeluarkan lohong hitamnya, seluruh kawasan tersebut disedut macam vakuum. Malah, dalam banyak lagi adegan, lohong hitam dianggap sebegitu. Ini adalah refleksi tentang bagaimana ramai orang salah anggap.

ezgif-com-00d9ce50a0
Lohong hitam ini menyedut seperti vakuum

Lohong hitam tidak menyedut seperti vakuum. Lohong hitam menarik objek sebagaimana Bumi menarik objek.Ya, Bumi! Cumanya, lohong hitam adalah macam Bumi yang sangat, sangat, sangat, sangat, sangat, sangat (beribu kali sangat), besar (besar di sini bukan tentang saiz tapi tentang jisim). Maka, graviti lohong hitam sangatlah besar sampaikan cahaya pun tak boleh keluar sebab tu dia hitam. Hal ini diperjelaskan dalam Teori Relativiti Einstein.

Dalam Teori Relativiti, kekuatan graviti dibayangkan sebagai berapa banyak fabrik ruang-masa diubah bentuk. Ihsan sciencenews.org

Mesin vakuum pula berfungsi dengan mengubah tekanan supaya memaksa objek dari tekanan tinggi ke tekanan rendah (keadaan vakuum). Namun, objek pula jatuh ke arah lohong hitam sebagaimana objek jatuh ke arah Bumi. Itulah perbezaan vakuum dan lohong hitam.

Kanta Graviti

Kesan daripada Teori Relativiti Einstein, cahaya yang tiada jisim terkesan oleh graviti. Hal ini disebabkan graviti mengubah ruang dan masa menyebabkan ruang yang lurus menjadi senget. Maka, cahaya yang sepatutnya bergerak lurus, tertipu oleh graviti menyebabkan cahaya bergerak senget sedikit. Hasil daripada ini, kita sebagai manusia boleh nampak objek yang tersembunyi di belakang lohong hitam.

Ini adalah lakaran fabrik ruang-masa 2-dimensi yang dibayangkan Einstein. Lihat bagaimana lekukan fabrik ini menipu cahaya untuk membelok. -Ihsan Google

Bayangkan objek yang cukup besar jisimnya bertindak seperti kanta yang besar.

Namun, dalam kebanyakan adegan, tiada langsung tanda-tanda cahaya terbias disebabkan lohong hitam. Kalau ada pun pembiasan cahaya, hanya ada satu babak, iaitu babak ini:

biasan-cahay
Sedikit biasan cahaya boleh dilihat

Untuk satu contoh menarik Kanta Graviti, lihat lohong hitam Gargantua dalam filem Interstellar. Gargantua mempunyai cakera tokokan (macam cincin planet Zuhal) tapi disebabkan Kanta Graviti, kita dapat lihat sesuatu yang menarik.

Lihat bagaimana bahagian cakera yang tersorok di belakang lohong hitam itu dapat dilihat mengelilingi lohong hitam itu di atas dan bawahnya. – Filem Interstellar

Paradoks Kehilangan Maklumat di Lohong Hitam

Dalam beberapa babak perlawanan antara Bora Ra dan Pasukan Boboiboy, Bora Ra kelihatan bebas untuk mengeluarkan objek dari lohong hitam. Malah, Boboiboy mampu memaksa dirinya keluar daripada lohong hitam itu seperti tiada apa yang berlaku. Dalam realiti, tiada apa boleh keluar dari lohong hitam termasuklah cahaya. Itulah sebabnya dia hitam.

ezgif-com-096d2ba00a

Kalau ada pun objek yang boleh keluar daripada lohong hitam (ataupun boleh jadi ianya lohong putih), ada satu lagi masalah yang timbul.

Prinsip Keabadian Maklumat mengatakan bahawa segala maklumat akan terjaga. Hal ini sepatutnya berada dalam dunia kuantum tapi untuk analogi, seorang Boboiboy akan kekal sebagai Boboiboy dan takkan boleh kita hilangkan kewujudan Boboiboy. Maknanya, kalau kita masukkan Boboiboy ke dalam apa sahaja pun, yang keluar itu akan tetap menjadi Boboiboy.

Namun, secara teori Lohong Hitam mampu menghilangkan maklumat. Kalau kita masukkan Boboiboy Api ke dalam lohong hitam kemudian masukkan pula Boboiboy Air (kita akan anggap Boboiboy Api dan Air mempunyai jisim yang sama), Lohong Hitam tidak kenal yang mana satu Boboiboy Air dan yang mana satu Boboiboy Api, apa yang Lohong Hitam itu tahu ialah dua jisim yang masuk ke dalamnya adalah jisim yang sama nilainya. Maka, apa yang kita mampu keluarkan ialah tenaga, bukannya Boboiboy.

Maka, bagaimanakah Bora Ra mengawal Lohong Hitamnya supaya tidak menghapuskan maklumat? Adakah perlu untuk kita menunggu beberapa tahun, dekad, ataupun alaf akan datang untuk dapatkan jawapan?

“Tukaran Spaghetti!”

black-hole
Bayangan fenomena ‘Spaghettification’

Ini adalah sesuatu yang menarik tentang Lohong Hitam. Kalau kita masuk ke dalam Lohong Hitam, gravitinya sangatlah kuat sehingga badan kita akan ditarik menjadi sangat-sangat panjang. Ahli Fizik menggelarkannya “Spaghettification” atau “Menjadi Spaghetti”. Maka, kalau Gopal yang masuk ke dalam Lohong Hitam itu, kemungkinan besar dia akan cakap, “Tukaran Spaghetti!”

Advertisements