Pengenalan

Sudah tentu ramai di luar sana bergaduh tentang mana sumber pembelajaran yang paling baik? Bukan sahaja bergaduh dengan rakan malah dengan ibubapa serta cikgu lagi. Ada yang kata komiklah yang paling bagus. Ada yang kata videolah yang paling bagus. Maka apa jawapannya?

Kisah Gambar Bergerak dan Yang Sewaktu dengannya

Tahun 1922, waktu gambar yang boleh bergerak mula diciptakan, Thomas Alva Edison, berkata, “Gambar yang bergerak (filem dan video) telah pun ditakdirkan untuk merevolusikan dunia pendidikan dan dalam beberapa tahun akan datang, ia akan banyak menggantikan penggunaan buku teks, kalau tak menggantikan sepenuhnya”. Namun, malangnya Encik Edison bukanlah pak nujum sebab itu kita masih terikat dengan buku teks.

Tahun 1930-an, radio pula yang dikatakan boleh merevolusikan dunia pendidikan. Bagaimana pula tu? Katanya kita boleh pancarkan pakar-pakar ke dalam kelas yang banyak untuk kurangkan kos mencari guru. Perkara ini tidak mustahil tapi juga tidak tercapai. Kenapa?

Pada hujung 20-an (1900-2000), apabila komputer mula diperkenalkan, sudah tentu ia menjadi satu lagi calon untuk membawa revolusi kepada dunia pendidikan. Melihat kebolehan komputer yang tiada penghujung, tidak dapat dinafikan potensinya untuk sedemikian. Tidak hairan jugalah kalau komputer boleh menggantikan buku teks, malah guru sekalipun. Namun, apa yang jadi pada kelas-kelas di sekolah?

Apa yang Jadi?

Untuk membawa revolusi kepada dunia pendidikan, kita harus faham asas pendidikan. Pendidikan tak berlaku pada isi yang disampaikan. Sampaikanlah gunakan apa sahaja cara; komik, video, edutainment, blog, apa sahajalah! – kalau isinya sama, hasil pembelajaran adalah sama. Hal ini dikuatkan dengan kata-kata Derek Muller dalam videonya ‘This Will Revolutionize Education‘ dan thesisnya ‘Designing Effective Multimedia for Physics Education‘.

Asas pendidikan adalah pada pemikiran pelajar. Tugas guru bukanlah untuk menyampaikan maklumat. Itu tugas guru beberapa ratus tahun yang lepas apabila sumber maklumat agak susah nak capai. Sekarang? Apabila maklumat sudah berada di hujung jari, apa pula beza guru dengan internet dan buku teks kalau begitu?. Tugas guru adalah untuk membimbing pelajar untuk berfikir, untuk mencabar pemikiran pelajar, dan galakkan mereka untuk berfikir.

Apa yang Kita Boleh Buat?

Apa yang kita boleh buat sebagai pengguna internet ialah untuk memperbanyakkan sumber-sumber yang sahih sebagai rujukan pelajar-pelajar yang sedang belajar. Bukan setakat itu, pastikan ilmu boleh disampaikan melalui pelbagai media. Bagi artis komik, biar mereka fokuskan penyebaran melalui komik. Bagi blogger, biar mereka fokus pada blog.

Kita perlu pastikan ilmu itu ada di setiap bentuk media yang boleh difikirkan. Kenapa? Sebab setiap manusia ada citarasa media yang tersendiri. Kalau mereka cenderung pada komik, maka mereka akan baca komik. Kalau mereka cenderung untuk tonton video, maka mereka akan cari video.

Menjadi tugas kita (sebagai peminat sains dan penyampai) untuk membuatkan mereka ada rasa ingin tahu, kemudian mereka sendiri yang bertanggungjawab untuk belajar (mendalaminya).

– Dianna Cowern (PhysicsGirl) 2015

Advertisements